Selalunya orang yang kaki sukan ni suka bersukan dan bermain dalam pasukan seperti bola sepak, bola tampar. Badminton walaupun bukan pasukan tapi ada orang suka bermain dalam kumpulan dan bertanding untuk menang dalam peringkat seterusnya.
Walaupun ada orang yang pandai bersukan dalam sebuah pasukan tetapi dalam kehidupan sehariannya tidak sebagaimana kemahirannya bermain sukan dalam satu pasukan.
Dalam kehidupan harian kita akan berhadapan dengan banyak cabaran dan masalah yang tak boleh dielakkan. Termasuklah dalam bidang kewngan.
Bagi kebanyakan orang, hal kewangan ini terlalu bersifat peribadi dan tak ramai yang mahu berkongsi bagaimana hendak meningkatkan lagi kemampuan kewangan.
Tetapi jika kita mahu meningkatkan kemampuan kewangan kita, perlu membentuk pasukan kewangan peribadi sendiri. Bagaimana?
Mungkin kita tak ada kawan yang mahir dan ada kepakaran dalam bidang kewangan ini. Walaupun begitu, kita boleh mencari kawan baru yang ada kepakaran tersebut. Kita berkawan supaya dapat memudahkan urusan kita merancang kewangan masa depan.
Kalau kita berkawan dengan seorang penjual insurans bukan bermakna kita akan terus membeli insurans daripadanya. Baru kali pertama berjumpa kita terus setuju dengan tawarannya.
Itu bukan berkawan namanya, itu kita dipergunakan dan diambil kesempatan kerana jahil. Untuk menjadi kawan yang baik, mesti ada perundingan, ada perbincangan. Sebelum kita mengambil keputusan, bukan hanya dalam membeli insurans saja.
Malah dalam membuat pinjaman wang, melangsaikan hutang, memberhentikan hutang, membuat pelaburan, membeli emas, membuka akaun simpanan dan sebagainya.
Kita perlu tahu lebih banyak maklumat yang diperlukan. Perundingan ini mungkin mengambil masa yang lama. Sebelum memulakan rundingan, kita mesti tahu apa yang perlu kita mahu tahu.
Komunikasi dan hubungan yang baik dengan beberapa orang yang mahir dan pakar dalam bidang masing-masing seperti insurans, pinjaman, pelaburan, nasihat kewangan lain boleh membina hubungan persahabatan.
Kerana kita mahu hubungan itu membolehkan kita menyelesaikan masalah yang mungkin timbul pada masa depan seperti tuntutan insurans, pemberhentian awal pinjaman, penyusunan semula portfolio pelaburan dan sebagainya.
Ini adalah cara bagaimana kita boleh membentuk satu pasukan kewangan peribadi dalam bidang yang berbeza. Simpan nombor telefon atau Whatsapp mereka supaya mudah dihubungi untuk sebarang pertanyaan.
Kita kena kawal apa yang patut kita lakukan untuk memastikan kedudukan kewangan kita stabil. Jangan biarkan ejen kewangan yang mengawal kita untuk mereka mendapat komisen jualan produk kewangan.
Kita mahu menyelesaikan masalah kewangan peribadi kita, bukan menambah lagi masalah apabila mendapat nasihat yang tidak betul daripada ejen kewangan yang ada kepentingan diri untuk mendapatkan keuntungan peribadi.
Ahli pasukan Kewangan Peribadi kita boleh terdiri daripada :
- Ejen insurans
- Ejen pinjaman wang
- Ejen pelaburan saham
- Ejen jualan emas
- Ejen pajak gadai ar-rahnu
- Penasihat kewangan
Mungkin kita boleh mendapat nasihat atau maklumat percuma, namun kita mungkin membayar mereka apabila membuat keputusan untuk membeli insurans, membuat pinjaman, melabur saham, membeli emas dan memajak logam emas melalui ejen yang menjadi kawan baru kita.
Jadikan mereka sebagai seorang kawan, bukannya ejen jualan. Kerana kita mahu apa apa masalah yang timbul berkaitan produk kewangan kita boleh terus berhubung dengan mereka yang sudah kita kenal. Bukannya orang lain.