Kita tak perlu nampak bijak dengan menyelesaikan masalah yang rumit dengan pelbagai idea yang mencarut, atau idea yang serabut dan terlalu banyak proses kerja. Cukup dengan satu idea yang ringkas dan terus kepada hasilnya, tak perlu menyusahkan diri dan peningkan kepala memikirkan apa yang perlu dilakukan supaya nampak hebat di mata orang ramai. Kemahiran membuat satu kejutan juga adalah satu kehebatan yang tak perlu dicanang dan menjadi viral.
Kaedah penyelesaian masalah
Kuasai kemahiran fizikal dan teknikal. Itu saja caranya. Kuasai asas kemahiran, maka selepas itu dapatlah menguasai penyelesaian masalah berkaitan. Nak kuasai kemahiran mesti belajar, tak perlu jadi pakar segala bidang. Salah satu kemahiran yang mesti dikuasai adalah kepimpinan dan pengurusan, semua pakar pakar yang ada di sekeliling kita akan dapat dikuasai dengan hanya memberi arahan yang perlu. Kita adalah pengurus kepada diri sendiri dan juga boleh menjadi pengurus kepada orang di sekeling kita.
Permudahkanlah urusan kerja
Walaupun kita tak perlu kuasai semua kemahiran, tetapi perlu tahu banyak maklumat berkaitan kemahiran. Maksudnya, pandai bercakap tapi belum tentu pandai buat tetapi kita tahu apa yang orang lain buat berdasarkan pengetahuan kita. Sekurangnya kita tak mudah ditipu dan tertipu. Walaupun tidak menguasai banyak kemahiran, tapi kita boleh tahu kita sedang ditipu dan diperdaya.
Kuasai saja kemahiran yang kita perlukan, supaya dapat mempermudahkan urusan kehidupan harian kita. Misalnya kemahiran bertukang dapat menyelamatkan kita daripada membeli perabot yang mahal saja harganya tetapi tidak tahan lasak, diperbuat daripada bahan yang mudah rosak. Nampak cantik di mata saja tapi tak memenuhi keperluan ruang di rumah kita. Apabila kita salah membuat pilihan, kita menyangka ia boleh memberi kemudahan, tetapi sebaliknya yang berlaku timbul pula masalah lain yang menyusahkan kita.
Contoh lain, kemahiran menggunakan teknologi maklumat dan asas membaiki komputer dapat menyelamatkan wang kita daripada lebur. Bagaimana? Teknologi maklumat dapat menjadi alat risikan untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di dunia nyata. Penipuan politik, scammer, helah dalam perniagaan dan sebagainya kita boleh tahu awal supaya lebih berhati-hati. Oleh kerana komputer akan selalu digunakan, ia mungkin perlu diservis atau dinaik taraf supaya prestasinya sentiasa bagus.
Ada banyak lagi kemahiran lain yang perlu kita kuasai. Kalau tak sepenuhnya, separuh atau suku pun tak mengapa. Daripada hanya pandai bercakap saja, sekurangnya kita tahu sedikit apa yang perlu dilakukan dengan kemahiran tersebut untuk menyelesaikan masalah dan mempermudahkan urusan kehidupan harian kita.
Amalkan prinsip minta tolong bila perlu dan terdesak saja, kerana kita mahu mengajar diri sendiri untuk pandai berdikari. Kalau masalah itu boleh kita selesaikan sendiri, kita akan selesaikan tanpa bantuan. Ia akan menjadikan kita seorang yang kuat dan tabah untuk terus berusaha. Jika kita ada kemahiran tertentu yang orang lain nampak, kita boleh menonjolkan diri supaya tidak dipandang rendah atau tidak dipedulikan sesiapa.
Orang lain mungkin akan cuba minta tolong, sama ada benar-benar terdesak atau untuk kepentingan diri mereka. Tetapi kita boleh guna kelebihan dan kemahiran kita untuk berunding sehingga wujud situasi Menang-Menang. Jangan sampai orang lain mengambil kesempatan ke atas kita terutama jika mereka memiliki kekuasaan. Jika orang lain memerlukan kita untuk selesaikan masalah mereka, kita juga akan pertimbangkan apakah masalah kita yang dapat diselesaikan jika menolong mereka. Mungkin hubungan yang lebih baik atau menghasilkan deposit timbal balik apabila kita perlukan pertolongan suatu hari kelak.
Asah diri dengan kemahiran demi kemahiran
Terlalu kerap minta tolong akan mengakibatkan kita terlalu banyak berhutang budi. Ia juga akan memerangkap kita sendiri dengan mudah menjadi mangsa kepada penipuan, penindasan, penyelewengan. Kita cuba usahakan untuk selesaikan masalah sendiri dulu dengan menguasai kemahiran tertentu. Bila ada masalah berkaitan, maka kita akan cuba cari jalan penyelesaian dengan menggunakan kemahiran yang berkaitan. Jika tiada kemahiran tersebut cubalah belajar dan asah sedikit demi sedikit sehingga menjadi lebih mahir.
Selalunya proses ini melibatkan 'try and error'. Percubaan kali pertama, kedua, ketiga mungkin gagal. Lama kelamaan dapat mengetahui permasalahan yang sebenar dan akhirnya dapat menyelesaikannya dengan kemahiran yang betul. Apabila dilakukan berulang-ulang, lama kelamaan kita akan menguasai penyelesaian masalah dengan kemahiran yang tepat.
Begitulah hidup, kalau kita tak mahu belajar ilmu dan kuasai kemahiran, kita bukan saja akan ketinggalan. Malah menjadi mangsa penipuan, penghinaan dan dipandang rendah. Fokus kepada masalah utama dan fokus kepada penyelesaian muktamad. Jangan dengar cakap cakap orang sekeliling yang tidak banyak membantu kita menyelesaikan masalah dengan segera. Biarlah orang lain memandang rendah atau tidak mahu peduli dengan kita. Apabila mereka nampak kita berguna, mereka akan cari kita dan memujuk merayu kita untuk selesaikan masalah mereka. Kita akan pertimbangkan.
Namun, apa yang terbaik adalah sama-samalah kita bertimbang rasa dan saling hormat menghormati. Sekiranya ada orang akan menggunakan kuasa dan kelebihan kedudukan serta pangkatnya, jangan lupa sekiranya kita memiliki kelebihan kuasa kemahiran yang tinggi, kita juga mampu mengheret mereka tersungkur bersama-sama dengan kita akibat perbuatan salah laku mereka sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini