Selasa, 24 Mei 2022

Imaginasi Tanpa Mengira Usia

 


Imaginasi tak mengira usia, cepat atau lambat kita berimaginasi apabila ia sudah bermula ia boleh mengubah situasi semasa dengan cepat. Bila kita dapat membayangkan sesuatu yang mahu dicapai dalam fikiran, itu adalah permulaan kepada kejayaan masa depan kita. Kejayaan itu adalah satu proses dan tidak mungkin tercapai dalam tempoh yang sangat singkat. Tetapi ia perlu bermula sekarang, walaupun mungkin sudah terlambat. Apa yang kita inginkan, itulah yang mesti dibayangkan di dalam fikiran kita. Bayangan itu perlu bermula dengan pencapaian akhir yang diinginkan. Kemudian baru bayangan apa yang boleh kita usahakan dalam waktu terdekat. 

Peringkat Kejayaan 

Kita perlu melalui 3 peringkat kejayaan.

  1. Kejayaan kecil
  2. Kejayaan besar
  3. Kejayaan hakiki
Imaginasi tak memerlukan peringkat kejayaan. Kita boleh saja bayangkan kita sudah kaya raya, sudah memiliki segala dan sebagainya. Tetapi kejayaan sebenar mesti bermula mengikut peringkat. Bermula dengan satu kejayaan kecil, kemudian usahakan lagi lebih banyak kejayaan kecil yang lain. Apabila satu demi satu kejayaan kecil berjaya dilaksanakan, ia akan memudahkan kita melaksanakan kejayaan yang lebih besar pula. Kita mesti menyusun rancangan berdasarkan imaginasi sebelum melaksanakannya sebagai panduan dan halatuju kita.

Dalam apa jua perkara yang kita lakukan sekalipun perlu melalui peringkat ini, bermula dari bawah dan naik ke peringkat lebih atas lagi sedikit demi sedikit. Tetapi jangan pula kita terperangkap dalam satu ruang lingkup keadaan yang terbatas. Imaginasi membolehkan kita jadi apa saja walaupun dalam situasi semasa kita mungkin tidak punya apa-apa. Namun, apa yang sedang kita lakukan sekarang akan menjadikan kita seperti apa yang kita mahu jadi pada masa depan. Ia akan mengubah sepenuhnya keadaan kita kelak dengan cara dan kemahuan kita sendiri.

Gambaran Menyeluruh Imaginasi

Pendorong semangat untuk kita berusaha bersungguh sungguh adalah apabila kita tahu dan nampak matlamat akhir dalam fikiran dengan satu gambaran yang menyeluruh. Jika cuma sekerat atau kabur, kita tidak ada fokus yang jelas tentang apa yang mesti kita usahakan. Gambaran menyeluruh adalah perincian tentang matlamat. Kita boleh tahu apa yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut. Semakin jelas dan terang matlamat tersebut, semakin fokus kita bertindak untuk melaksanakannya. Ia tak akan hilang jejak dan kabur daripada pandangan mata dan akal fikiran kita.

Mula berimaginasi dari usia muda adalah satu kelebihan dari segi masa. Kita ada masa yang sangat panjang dan ruang masa itu sentiasa memberi peluang yang banyak untuk kita berusaha membina kejayaan demi kejayaan. Tidak bermakna apabila usia sudah tua baru nak aktif berimaginasi kita rugi. Pada usia tua kita sudah melalui banyak pengalaman, jatuh bangun dalam perjalanan kehidupan, dipuji bila diperlukan, dihina bila serba kekurangan. Semua itu adalah input untuk kita membina sebuah imaginasi yang berkesan, iaitu imaginasi yang boleh menjadi satu kenyataan dalam masa yang singkat.

Jangan Berhenti Berimaginasi 

Jangan pernah berhenti untuk berimaginasi sama ada ia tercapai atau tidak. Jangan putus asa, walaupun kejayaan itu tidak sepenuhnya seperti apa yang dibayangkan mungkin ada kejayaan lain boleh dicapai. Kuncinya jangan pernah berhenti untuk berimaginasi. Jika berjaya dengan skala atau pencapaian yang kecil sahaja, kita perbaiki lagi kekurangan yang ada. Kita tambah lagi keperluan yang boleh membantu kejayaan kecil itu menjadi sebuah kejayaan yang besar pada masa hadapan.

Jangan melihat apa yang kita ada sekarang, kita lihat apa yang kita mahu ada pada masa depan. Walaupun ada situasi kita yang tak akan berubah, ada keadaan lain yang kita boleh berubah. Seperti mana yang telah dijelaskan, jangan terperangkap dalam ruang lingkup yang terbatas. Kita boleh berada dalam satu ruang lingkup yang kita rasa selamat berada di dalamnya, dan kita juga boleh keluar daripadanya untuk memasuki beberapa ruang lingkup yang boleh membawa kita kepada kejayaan yang lain. Maknanya kita mungkin tak nampak berjaya dalam satu bidang, tetapi kita boleh berjaya dalam bidang yang lain.

Kejayaan itu bukan soal apa yang orang lain boleh nampak semata-mata. Kejayaan juga boleh dicapai tanpa perlu diketahui oleh orang lain, tanpa perlu dihargai atau disanjung tinggi oleh sesiapa, tanpa perlu ada jawatan yang tinggi dengan pendapatan yang lumayan semata-mata. Kejayaan itu juga adalah tentang kebahagiaan kita, keselesaan kita, ketenangan kita dalam menjalani kehidupan yang penuh mencabar dan banyak dugaannya. Dalam dunia sekarang yang semakin moden dan maju, imaginasi memungkinkan segalanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini