Ramai orang melihat kekayaan itu dari sudut wang dan harta. Tanda banyak wang dengan melihat gaya hidupnya, apa yang mereka pakai, harta benda mereka yang kita nampak. Namun begitu, jangan hanya menilai kekayaan daripada apa yang kita nampak. Kekayaan ada banyak bentuk dan setiap kekayaan itu ada nilai kepuasannya. Kaya wang kepuasannya dapat hidup senang dengan segala kemudahan hidup dapat disediakan. Namun, semua itu belum tentu dapat memberi kepuasan hidup yang hakiki. Hal inilah yang menyebabkan kita perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang kita sudah ada sekarang.
8 Jenis Kekayaan
Tiada siapapun yang sebenarnya boleh dianggap orang paling kaya kerana semua itu hanya pinjaman sementara ketika masih hidup. Tetapi, kita semua tahu ramai orang mahu jadi kaya raya. Ramai juga yang tak mahu dan lebih suka untuk hidup selesa dengan pendapatan yang tetap serta mampu menampung segala keperluan hidup. Semuanya terpulang kepada pilihan hidup masing-masing
Walaupun begitu, kita WAJIB tahu apakah bentuk kekayaan lain selain daripada wang dan harta. Ini kerana apabila kita mampu menerokai dan memiliki kekayaan lain, kehidupan kita akan lebih seimbang dan menyokong antara satu sama lain.
- Wang dan harta benda
- Kesihatan
- Ilmu pengetahuan
- Akal dan fikiran
- Jiwa dan perasaan
- Akhlak
- Sedekah dan amal jariah
- Akhirat
Kekayaan Yang Seimbang
Oleh sebab itu kita juga mesti memperbaiki kekurangan itu. Apa guna wang dan harta yang banyak jika selalu sakit. Maka, kita usahakan untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Kurangkan makanan atau aktiviti yang menjadi punca kepada penyakit. Apa guna berilmu dan berpendidikan tinggi jika tidak berakhlak baik dan berjiwa mulia. Maka, kita usahakan untuk menjadi seorang yang suka merendah diri dan menyantuni setiap orang dengan sebaik-baiknya tanpa mengira latar belakangnya.
Kadangkala kita sudah merancang dan melakukan sesuatu dengan terbaik sekali. Tetapi mengapa juga masih gagal. Semuanya bertitik tolak daripada jiwa dan perasaan kita. Kita gagal membentuk jiwa dan perasaan yang harmoni walaupun kita memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi. Kejayaan yang sebenar hanya dapat ditentukan oleh jiwa dan perasaan kita, sejauh mana kita rasa bahagia dan puas hati dengan pencapaian kita walaupun ia mungkin tak dipandang oleh orang lain.
Tahap pendidikan yang tinggi tidak sama dengan tahap ilmu pengetahuan yang tinggi. Kita boleh mendapat ilmu pengetahuan secara formal dan tidak formal. Sijil, diploma, ijazah, PhD semua itu adalah tiket untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi dalam kerjaya yang diceburi. Semakin tinggi kelulusan kita dalam tahap pendidikan, semakin besar dan banyak tanggungjawab yang kita akan pikul. Kelebihan dan keistimewaan yang kita terima bukan percuma, semuanya ada harga dan timbal balik. Kita mesti membayar harganya. Tetapi jika kita tak miliki kekayaan jiwa dan perasaan, tanggungjawab itu akan menjadi satu beban yang sangat berat. Sehingga pada satu tahap kita hampir putus asa dan rasa kecewa.
Kejayaan juga memerlukan sikap dan akhlak yang baik. Sabar, tabah, tekun adalah sikap. Pemurah, suka tolong orang, mempermudahkan urusan orang lain adalah akhlak. Jangan terlalu tamak, gopoh, bangga dengan apa yang kita ada sehingga lupa diri dan tidak memikirkan kepentingan serta hak orang lain. Fikiran dan perasaan yang positif lahir dari jiwa yang tenang akan membimbing dan memimpin kita melakukan usaha dengan penuh tatatertib. Maka, kejayaan demi kejayaan lebih mudah dicapai tanpa ada sebarang masalah yang terlalu kritikal. Berjaya dengan senang dan tenang.
Kaya dunia dan akhirat
Dalam usaha untuk kita mencapai kekayaan di dunia jangan lupa kekayaan di akhirat. Di dunia kita mengejar wang dan harta, sambil memelihara akhlak kita turut menyantuni orang lain dengan baik dengan harapan kehidupan kita tidak terancam dan dicemburui oleh orang lain. Kita buat baik pada orang, orang lain juga akan buat baik pada kita. Kita tak kacau hidup orang, orang lain juga tak kacau hidup kita.
Apabila kita meninggal dunia, yang tinggal dan menjadi modal pelaburan untuk kehidupan akhirat kita adalah :
- Sedekah jariah
- Ilmu yang dimanfaatkan
- Anak yang soleh
Mungkin ada antara kita tak memiliki semua 3 perkara di atas. Ada orang yang tidak banyak wang dan harta, ada yang tidak ada ilmu yang banyak, ada juga yang tiada zuriat keturunan. Tetapi semua itu bukanlah satu alasan yang akan diterima oleh Allah SWT. Semua keadaan itu adalah dengan kehendak Nya juga, sudah pasti ada hikmahnya. Kita mesti guna akal fikiran yang dikurniakan Nya untuk memikirkannya. Terima keadaan dengan positif dan redha dengan segala apa yang diterima, maka Allah juga akan redha dengan apa yang kita usahakan.
Bersedekahlah, kongsikanlah ilmu walaupun apa yang kita miliki itu sedikit. Sedekah dan ilmu yang dikongsikan dengan penuh ikhlas hanya kerana Allah akan dibalas Nya dengan kemuliaan yang tinggi. Apabila bercerita tentang akhirat, kita tak boleh lari daripada bercerita tentang kebesaran dan keagungan Allah SWT sebagai pencipta alam dan pemilik khazanah dunia dan akhirat. Hidup di dunia hanya sementara, dunia adalah tempat ujian. Kematian itu juga sementara, kita tidak mati secara mutlak, hanya mati secara fizikal. Kita masih hidup dalam bentuk dan keadaan yang lain, menunggu masa untuk dihidupkan semula dan menerima pembalasan ke atas amalan yang telah dilakukan semasa hidup di dunia.
Tentang anak yang soleh, itu adalah rahsia Allah. Ada pasangan yang sudah lama berkahwin tiada anak, ada juga orang yang seumur hidupnya tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak. Masih ada dua lagi yang boleh menjadi modal pelaburan untuk akhirat, sedekah jariah dan ilmu yang dimanfaatkan. Mengambil anak angkat itu adalah sedekah jariah. Segala apa yang dibelanjakan untuknya adalah sedekah. Mempunyai anak sendiri dan belanja untuknya juga adalah sedekah, tetapi kita akan bertanggungjawab sepenuhnya dan memikul beban daripada anak kandung kerana hubungan darah secara langsung. Jika anak soleh alhamdulillah, jika anak kandung tak soleh kita kena jawab di akhirat kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini