Apa sebabnya kita berfikir? Semua orang tahu kenapa mereka berfikir? Antaranya untuk maju dan berjaya, dapat hidup senang, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Tapi tak ramai orang yang tahu bagaimana cara nak berfikir dengan berkesan.
Kesilapan dalam berfikir boleh menyebabkan penyesalan, tetapi apabila kesilapan berfikir itu diperbaiki kita dapat mengubah keadaan hidup kita menjadi lebih baik. Kita tak akan mengenang rasa penyesalan itu selamanya, sebaliknya menjadikan ia satu pengajaran berguna. Itu pentingnya bila kita dapat meningkatkan lagi keupayaan berfikir.
Apa kaitan berfikir dengan kekayaan
Realiti hidup ini kita tidak boleh lari daripada keperluan wang. Walaupun tak banyak, tetap juga memerlukan sedikit wang untuk memenuhi keperluan hidup. Namun begitu, kita masih lagi boleh mencapai kejayaan tanpa wang, dan kekayaan itu pula tidak terbatas hanya dengan wang yang banyak sahaja. Tetapi, kita jangan abaikan usaha untuk mencari dan mendapatkan wang.
Kita boleh menerokai lebih banyak lagi jenis kekayaan yang boleh memberi kebebasan dan kesenangan dalam hidup kita. Apabila kita mampu berfikir bagaimana kekayaan wang itu boleh diteroka, kita fikir dulu bagaimana ia boleh dijana dan apakah puncanya. Sebelum kita mampu kaya dengan wang, kita perlu kaya dengan perkara yang lain dahulu.
Jenis-jenis kekayaan
Fikir dahulu jenis-jenis kekayaan ini dan dapatkannya :
- Kesihatan yang baik. Kelebihan orang yang jarang sakit atau tiada penyakit kritikal adalah sentiasa bersemangat dan dapat terus berusaha mencari kekayaan wang dan harta. Penyebab penyakit kritikal seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, stress, obesiti dan sebagainya adalah disebabkan oleh gaya hidup peribadi. Bagaimana kita mengurus kehidupan sendiri terletak pada cara kita berfikir. Jauhi punca-punca penyakit itu dan amalkan gaya hidup sihat.
- Pengetahuan yang banyak. Mereka yang memiliki pengetahuan yang banyak dapat menguasai keadaan sekelilingnya. Apabila kita tahu apa kekurangan dan kelemahan kita, ilmu pengetahuan dapat membantu kita mengatasinya dengan menyelesaikan masalah asas. Kita tahu diri kita bukan seorang yang berkemampuan dari segi kewangan, tetapi dengan ilmu pengetahuan kita dapat berfikir untuk menyelesaikan masalah dengan memperbaiki taraf hidup agar lebih selesa hanya dengan menggunakan apa yang kita ada. Sedikit demi sedikit kita berkembang maju dan membina keupayaan dan akhirnya mampu memiliki wang dan kesenangan yang banyak.
- Minda yang cerdas. Minda cerdas terbentuk daripada jiwa yang tenang. Iaitu kita mempunyai sifat sabar yang tinggi, tenang, tekun dan tak mudah putus asa. Keadaan ini akan memberi kelebihan untuk kita fokus kepada bentuk pemikiran kita supaya lebih positif, kreatif, terbuka dan memandang jauh ke hadapan. Bukannya kita tidak ada masalah, cuma kita tidak mahu terlalu fokus kepada masalah itu sehingga mengganggu pemikiran kita. Asas penyelesaian masalah itu adalah jaga minda kita dahulu supaya dapat berfikir dengan berkesan.
- Jiwa yang tenang. Kita dapat berfikir dengan waras tanpa mengikut emosi apabila kita memiliki jiwa yang tenang. Bagaimana mendapatkannya, dekatkan diri kita kepada Tuhan dan amalkan perbuatan baik sentiasa. Jiwa yang tenang membantu kita dalam membuat keputusan yang tepat dan tidak tergesa-gesa. Kita boleh tahu apa masalah yang akan berlaku dan dapat mencegahnya lebih awal, ia dibantu dengan pengetahuan yang banyak dan minda yang cerdas. Apa gunanya kekayaan dan kesenangan harta benda jika jiwa kita tidak tenang. Cari dulu ketenangan jiwa sebelum kekayaan wang dan harta.
- Kemahiran yang berguna. Kemahiran yang dapat membantu meningkatkan kemampuan kita. Termasuk dalam bidang yang dapat membantu menjana wang melalui penjimatan dan penghasilan. Seperti kemahiran komunikasi akan menarik orang lain berminat berurusniaga dengan kita. Kemahiran bertukang membolehkan kita membaiki dan membuat sendiri perabot dan peralatan. Semua kemahiran ini bermula dengan ilmu pengetahuan yang banyak, tetapi kita perlu memilih kemahiran yang perlu dikuasai dengan mempraktikkannya.
Apabila kita mampu mendahului semua jenis kekayaan yang disebutkan di atas, proses seterusnya untuk menguasai kekayaan kewangan akan menjadi lebih mudah. Kesihatan menjadikan kita rajin berusaha, banyak masa boleh digunakan untuk menjana kekayaan. Dengan ilmu pengetahuan yang banyak kita boleh mengetahui cara bagaimana untuk meningkatkan ekonomi, menyelesaikan banyak masalah dan mengelak kesilapan.
Minda yang cerdas dapat membantu kita membuat keputusan kewangan yang tepat dalam jangka masa yang singkat. Kita tidak mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan masalah atau membiarkan sesuatu yang boleh mengundang masalah kewangan terlalu lama. Jiwa yang tenang dapat mengelak kita daripada panik, risau berpanjangan, kemurungan dan berfikiran negatif. Sehingga boleh menyebabkan kita hilang kawalan diri dan bertindak di luar dugaan dengan mengancam diri sendiri dan orang lain.
Kuasai kemahiran yang dapat menjana kekayaan kewangan. Kemahiran berniaga, kemahiran bersosial, kemahiran meluaskan pengaruh, kemahiran berhutang, kemahiran mengurus pendapatan, kemahiran membina aset. Banyak bahan bacaan berkaitan boleh dirujuk untuk meningkatkan kemahiran ini. Kalau tidak semua, sebahagian daripada kemahiran ini boleh dikuasai pada tahap yang tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini