Kadang-kadang ada banyak perkara yang nak diluahkan secara langsung, tetapi atas banyak pertimbangan maka ia perlu diperhalusi agar tidak menjadi satu isu yang besar. Hal ini perlu dijelaskan secara berhemah supaya tidak ada sesiapa boleh salahguna istilah 'ikhlas' dalam bekerja bagi menghalalkan tindakan yang 'zalim'.
Amalan 'subsidi' di tempat kerja ini bermaksud melakukan sesuatu kerja yang bukan bidang kita, bukan dibawah kontrak perjawatan atau bukan tugas hakiki tetapi mungkin sebab belas ihsan maka ia dilaksanakan dengan sukarela. Ataupun ada faktor kuasa dan kedudukan untuk memberi arahan melaksanakannya tanpa perbincangan.
Matlamat tidak menghalalkan cara
Namun harus diingatkan bahawa selagi arahan itu dipersetujui atas rundingan bersama, maka ia adalah satu perkara yang dibuat secara adil. Jangan sampai ada pihak yang teraniaya dan jangan salahguna kuasa. Jadilah seorang pemimpin bertanggungjawab yang dihormati, jangan mahu jadi pemimpin kerana ada kepentingan peribadi.
Dari segi perjawatan misalnya, jika arahan itu tidak berkaitan dengan tugas mesti ada kebenaran dan persetujuan bersama. Bukan sesuka hati menggunakan kedudukan dan kuasa untuk memberi arahan tanpa ada perbincangan. Mesti ada situasi menang-menang. Tinggalkan budaya lapok perkhidmatan awam "BOSS ALWAYS RIGHT".
Jangan ada kepentingan peribadi untuk memperoleh nama atau ganjaran seperti peluang naik pangkat tetapi pegawai yang diarah hanya dapat penat dan letih bekerja.
Jadilah pekerja yang berilmu
Itulah pentingnya seseorang pegawai bawahan itu perlu ada pengetahuan tentang undang-undang dan peraturan di tempat kerja supaya tiada mana-mana pihak boleh menyalahguna kuasanya atas nama organisasi tetapi sewenangnya mengambil jalan mudah tidak mengikut prosedur ditetapkan.
Banyak rujukan boleh dibuat untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa salahguna kuasa. Arahan dan Perintah Am dibuat mengikut perlembagaan dan undang-undang. Ia adalah rujukan yang boleh dibuat jika ada sebarang permasalahan.
Lain-lain rujukan adalah :
- Akta Kerja 1955 (Akta 265)
- Ordinan Buruh Sarawak 1952
- Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
- Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1964
- Peraturan-peraturan Kerja 1980
- Akta Pampasan Pekerja 1952
Akta-akta ini mengandungi peruntukan-peruntukan yang bertujuan melindungi pekerja dari sebarang ekploitasi oleh majikan dan meletakkan faedah-faedah minima yang perlu diberikan kepada pekerja YANG DILINDUNGI di bawah Akta ini.
Jika mahu maju bersama, kita perlu bekerja bersama. Jika mahu bekerjasama, kita duduk bersama dan bincang bersama. Kuasa bukan ada pada kedudukan dan pangkat, kuasa ada pada undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. Tiada siapa yang sepatutnya kebal daripada tindakan undang-undang. Ilmu dan pengetahuan akan melindungi kita, terutama pekerja bawahan. Kita sama-sama ikut dan patuh pada undang-undang, maka segalanya akan berjalan dengan lancar menuju kejayaan.
Sekadar Peringatan Bersama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini