Secara umumnya tabah adalah satu perasaan redha atau rela menerima sesuatu kejadian dengan tenang hati serta sabar menghadapinya. Menganggap ia sebagai satu ujian dan cabaran hidup. Ini lebih kepada bentuk tindak balas defensif.
Namun, dari sudut psikologi tabah adalah satu perasaan yang kental, tidak mudah sedih ataupun terlalu selesa. Tidak akan mudah untuk duduk diam dengan sesuatu keadaan. Baik ketika senang atau susah akan sentiasa bertindak balas secara proaktif.
Ketabahan Orang Berjaya
Orang yang mahu berjaya tidak akan berdiam diri dan pasrah menerima apa yang terjadi. Mereka anggap apa yang terjadi itu sebagai amaran awal tentang akibat yang berlaku sekiranya tidak berbuat apa apa. Ketabahan mereka dalam berusaha untuk melakukan sesuatu yang boleh membawa kebaikan dan memperbaiki kelemahan.
Bukan hanya ketika berdepan dengan kesusahan saja perlu tabah. Ketika senang dan selesa sekalipun masih lagi sabar dan tenang melakukan sesuatu untuk kebaikan yang berterusan. Ketabahan seperti ini akan membentuk diri menjadi seorang yang tekun, tak mudah putus asa, rasa selesa, terasa hati, tak mudah kecewa dan sedih.
Sebaliknya, menerima segala apa yang terjadi sebagai satu peringatan dan pengajaran. Lalu bertindak terus tanpa membuang masa lagi untuk memperbaiki dan mempersiap diri dengan tekun. Orang yang tabah sentiasa memandang ke hadapan tetapi tidak mudah lupa kepada masa lalu. Orang yang tabah juga tidak akan menyimpan dendam dan rasa kesal dengan masa lalu, sebaliknya sedia memaafkan dan bersedia untuk berubah memperbaiki keadaan.
Tabah disertai dengan tekun
Tabah tanpa bertindak tidak dapat menyelesaikan masalah. Bila ditimpa bencana tetap tabah menghadapinya dan sabar melaluinya. Apa yang perlu dilakukan bukan hanya perlu sabar menahan rasa sedih dan kecewa atau putus asa. Yang paling utama adalah disertai dengan sikap tekun untuk bertindak memperbaiki keadaan.
Apabila berdepan dengan kematian seseorang, jangan hanya sekadar bersedih dan memberi kata semangat untuk tabah menghadapi dugaan itu. Ambil iktibar daripada apa yang telah berlaku. Apa yang baik jadikan teladan, apa yang buruk juga perlu diambil pengajaran. Supaya tidak mengikutinya atau mengulangi kesilapan dan kesalahan yang sama. Belajarlah sesuatu daripadanya.
Tabah dengan kehidupan bermakna ambil iktibar dan pengajaran daripada apa yang berlaku. Kenapa ada orang yang ditimpa bencana mengalami musibah. Ada juga yang ditimpa bencana terselamat. Perlu melihat apa puncanya ditimpakan musibah dan bagaimana seseorang itu boleh terselamat. Disitu ada hikmah yang tersembunyi, tidak ada yang kebetulan. Setiap kejadian prinsipnya mesti ada sebab.
Dari situlah perlu menekuni perkara yang boleh dipelajari. Kemudian berusaha memperbaiki diri dan mempersiapkan diri. Itulah erti ketabahan yang sebenar. Tekun untuk mengambil iktibar dan bersungguh-sungguh melakukan perubahan yang boleh mencegah diri daripada musibah bencana.
Bencana itu adalah ujian, apabila sudah bersedia bencana itu dapat dihadapi tanpa musibah menimpa diri. Dari awal lagi sudah tabah dan tekun menghadapinya. Bukan sesudah berlaku bencana dan ditimpa musibah baru nak tabah dan sabar.
Bina Sikap Tabah dan Tekun
Sikap tabah dan tekun dari awal lagi dapat dibina melalui minda atau cara berfikir.
- Memiliki tujuan yang nekad
- Keinginan yang jitu
- Percaya kepada diri sendiri
- Mempunyai perancangan yang jelas
- Memiliki pengetahuan yang tepat
- Bersedia untuk bekerjasama
- Mempunyai keazaman yang kuat
- Tabah dan tekun menjadi satu tabiat
Keinginan yang jitu untuk berusaha secara berterusan dan tak mudah putus asa. Tak mudah patah semangat kerana sudah nampak apa hasilnya jika keinginan itu berjaya diusahakan dengan tabah.
Percaya kepada diri sendiri bermakna tahu apa yang dibuat itu adalah betul dan berguna untuk diri suatu masa kelak. Siapa yang mahu peduli pada diri bila ditimpa kesusahan? Orang lain mungkin cuma mampu bertanya khabar dan memberi kata semangat. Tetapi belum tentu dapat bantu selesaikan masalah peribadi.
Maka itulah perlu ada perancangan yang jelas. Dari awal lagi sudah nampak apa kemungkinan yang akan berlaku. Lebih mudah selesaikan masalah apabila sudah ada persediaan awal.
Perancangan yang dibuat berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sendiri dan kisah hidup orang lain. Tabah dan tekun untuk terus mengambil iktibar dan pengajaran secara berterusan.
Bekerjasama bila ada perasaan simpati dan saling tolong menolong supaya beroleh manfaat bersama. Tak semua perkara boleh buat sendiri, nak selamat juga mesti ada orang lain yang menolong.
Keazaman yang kuat bermakna fokus. Menumpukan fikiran dan tenaga untuk melakukan langkah demi langkah dalam rancangan yang telah disusun. Jangan mudah hilang fokus terpengaruh dengan anasir lain yang merosakkan rancangan.
Akhir sekali jadikan tabah dan tekun itu sebagai satu tabiat. Tabiat yang sudah terpahat di dalam hati dan jiwa. Menjadi satu tabiat apabila pengalaman itu akhirnya menjadi satu rutin harian yang dapat meneroka pengetahuan baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini