Berkongsi Kebaikan Dengan Ilmu
Kawan atau saudara mara di saat gembira itu memang ramai, tetapi di saat kita susah mereka cuma mampu memberi ucapan "bertabahlah", "semoga dipermudahkan urusan", "bersabarlah dengan ujian".
Ini berlaku berkali kali disaat kita dalam kesusahan dan menghadapi masalah. Semua orang mesti pernah ada dengan pengalaman ini. Kita terpaksa berpura-pura gembira supaya semua orang gembira. Kita malu nak berkongsi masalah dikala orang lain berkongsi pencapaian mereka dengan membawa lambang kejayaan balik bersama di hari perayaan. Sedangkan kehidupan kita masih lagi dibelenggu dengan masalah yang belum lagi selesai.
Bagaimana Dengan Ilmu Boleh Membawa Kebahagiaan
Dengan ilmu pengetahuan setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Kebanyakan orang ada masalah kewangan. Sama ada masalah tidak cukup wang atau terlalu banyak wang. Alangkah baiknya sekiranya kita menjaga perasaan orang lain atau saudara mara kita tanpa perlu membanggakan diri sendiri dengan lambang kejayaan yang dibawa balik semasa perayaan.
Berkongsilah bagaimana kita boleh berubah daripada seorang yang susah menjadi senang. Jagalah perasaan orang lain dengan merendah diri tanpa perlu membangga diri atau berlagak. Dekati kawan dan saudara mara dengan membawa cerita yang boleh dijadikan teladan dan berkongsi kebaikan apa yang telah kita lakukan sehingga boleh berjaya.
Mesti ada yang kata "wang tak boleh memberi kebahagiaan". Saya sendiri dah lalui hidup tak cukup wang. Walaupun jaga solat sekalipun, bila tak cukup wang banyak kemudahan akan tersekat sehingga bersusah payah dalam sesuatu urusan kehidupan. Lebih baik berkata "setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya". Barulah kawan dan saudara mara yang ada masalah akan terbuka untuk berkongsi masalahnya tanpa segan dan malu.
Jauhi Sifat Hipokrit
Ramai orang yang hipokrit, apabila harga barang naik, cukai naik, bil naik, mereka akan meroyan di media sosial. Katanya gembira dan bahagia walaupun tak cukup wang, rupanya cuma berpura pura dan masih lagi mengeluh dan mengadu di media sosial apabila harga barang terus naik.
Menyembunyikan kesedihan, kesusahan itu sangat bagus. Ada antara kita tidak mahu menunjukkannya secara terbuka. Biarlah memendam rasa menanggung sendiri kesedihan dan kesusahan itu. Malu untuk bertanya dan berkongsi masalah yang dihadapi. Tapi, adakah kita mampu bertahan. Kalau yang tidak tahan, hidupnya akan stress, menghadapi tekanan jiwa, boleh jadi gila dibuatnya dan sampai sanggup bunuh diri. Nauzubillah.
Berterus terang sajalah. Bila kita jujur berkata apa yang benar, hati kita akan lebih terbuka untuk menerima pandangan, nasihat dan ilmu pengetahuan. Dan kita akan rasa gembira seandainya kita ditunjukkan jalan untuk keluar dari kesusahan dan permasalahan oleh kawan dan saudara mara yang baik dan ikhlas berkongsi ilmu pengetahuan.
Jangan pula hendak pinjam 100, malu lah untuk menjadi manusia yang suka meminta-minta tanpa berusaha. Tapi kalau orang yang beri bantuan tanpa mengharap balasan, terimalah. Kerana ia adalah rezeki yang diberi Allah SWT melalui tangan tangan orang yang telah dibantu Allah SWT dengan kesenangan dan kemudahan hidup dalam mencari rezeki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini