Sabtu, 13 April 2024

Kenapa Belajar Ilmu Pelaburan



Ilmu Pelaburan Bukan Hanya Tentang Wang

Tak minat dengan topik pelaburan? Kenapa tak minat? Apabila tidak sekolah tinggi, ia bukanlah satu pengakhiran untuk tidak boleh berjaya dari segi kewangan. Sebelum ada orang akan kata "tak semua orang mampu melabur" atau "tak semua orang boleh faham tentang pelaburan". Atau apa apa saja yang mungkin orang akan kata. Pelaburan bukanlah untuk orang kaya sahaja, orang miskin juga boleh melabur dalam pelaburan orang kaya.

Zaman sekarang tidak lagi seperti dahulu, platform pelaburan digital yang diiktiraf kerajaan sudah banyak di dalam talian. Ianya bukanlah skim cepat kaya dan kita mesti tahu membezakan keduanya. Bagaimana? Platform pelaburan digital tidak menjanjikan pulangan tetap dengan keuntungan yang sangat tinggi. Platform pelaburan digital menyediakan maklumat dan data yang cukup sebelum kita membuat keputusan untuk melabur.

Setiap Kejayaan Mesti Dengan Ilmu

Justeru, untuk menguasai sesuatu kita mesti ada ilmu. Tak kisahlah sekolah tinggi atau tidak, kita mesti belajar dan menuntut ilmu. Kalau orang lain belajar tinggi sebab nak dapat kerja bergaji tinggi. Kita yang tidak sekolah tinggi fokus kepada bidang ilmu yang boleh menghasilkan pulangan pendapatan yang tinggi. Kita mesti belajar dan rajin membaca tentang ilmu pelaburan dan kewangan. Selepas membaca kita fikirkan dan fahami ilmu yang disampaikan dalam buku atau apa yang dikongsikan orang yang ada ilmu tersebut.

Kita mesti kuasai ilmu itu dahulu supaya boleh melakukannya dengan baik. Kita mesti mahir dalam ilmu pelaburan dan kewangan supaya boleh berjaya menjadikannya sebagai punca pendapatan yang lumayan dan tetap. Sama seperti belajar di sekolah dahulu, kita belajar matematik dan kuasai formula serta kiraan matematik baru boleh lulus ujian matematik dengan cemerlang. Kelulusan yang cemerlang dalam ujian membolehkan kita layak mendapat ijazah dan mendapat kerja yang lebih baik serta bergaji tinggi.

Ubah Nasib Sendiri Menjadi Lebih Baik

Perjalanan hidup kita berbeza-beza, ada orang yang bernasib baik dan mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran dan bekerja dengan gaji lumayan. Manakala, kita yang tak mampu sambung belajar akan merasai kesusahan hidup akibat kekurangan wang. Keadaan inilah akan memaksa kita untuk menggunakan jalan lain bagaimana boleh dapat wang yang banyak walaupun gaji tak besar dan tak tetap. Sentiasa pastikan jalan yang kita piliha adalah selamat dan tidak terperangkap dengan jerat scammer skim cepat kaya.

Hal ini yang akan membuatkan kita mahu belajar ilmu pelaburan, kita mula minat dengan topik pelaburan. Oleh kerana sudah nampak jalan itu, kita sudah ada perancangan untuk pelaburan. Pelaburan adalah sebuah perancangan teknikal dan mekanikal supaya pelaburan itu dapat berjalan dengan lancar walaupun dalam situasi yang berisiko. Namun, terpulang kepada minat masing-masing, tiada paksaan. Tipu kalau ada yang berkata tidak berminat dengan wang. Tipu juga kalau ada yang berkata lebih rela hidup miskin dan susah.

Ilmu Pelaburan Adalah Sebuah Perancangan

Ilmu pelaburan bukanlah tentang wang semata-mata, ia adalah sebuah perancangan bagaimana kita dapat keluar dari kemiskinan dan kesusahan. Walaupun tidak sekolah tinggi, masih ada cara lain untuk berjaya dari segi kewangan. Mereka yang sekolah tinggi tentunya dapat peluang menikmati gaji yang tinggi. Selepas tamat sekolah dan tidak menyambung belajar atas sebab peribadi, apa perancangan kita seterusnya. Perancangan itulah yang akan menentukan kejayaan masa depan kita dengan laluan yang kita pilih.

Pepatah "Gagal merancang atau merancang untuk gagal" sangat popular di kalangan mereka yang berpendidikan tinggi. Pepatah yang sama juga boleh digunakan oleh kita yang tak berpendidikan tinggi. Jika kita tidak membuat perancangan, kita akan gagal selamanya. Merancang untuk gagal bukanlah satu pilihan yang baik. Maka, pastikan kita merancang pelaburan dengan teliti supaya tidak gagal. Risiko kegagalan itu tetap ada, tetapi rancangan kita dapat mengawal kegagalan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini