Ahad, 14 April 2024

Masalah Asas Kewangan


Jenis Masalah Kewangan

Masalah kewangan ada dua, tidak cukup wang dan terlalu banyak wang. Kebanyakan orang ada masalah tidak cukup wang. Masalah ini terjadi disebabkan oleh banyak sebab, antaranya harga barang terutama makanan dan keperluan yang semakin mahal, pendapatan atau gaji yang sedikit, kos sara hidup seperti bayaran bil dan sewa rumah meningkat, tanggungan hutang dan ahli keluarga yang ramai.

Masalah terlalu banyak wang hanya berlaku kepada mereka yang berpendapatan atau mendapat gaji yang tinggi. Golongan ini tiada masalah untuk membeli makanan, keperluan, bayaran bil, berhutang dan menanggung ahli keluarga ramai. Masalah golongan ini ada dua, mudah menjadi lebih tamak dan mudah diperdaya.

Kita akan bincang lanjut mengenai kedua golongan yang bermasalah dalam kewangan ini. Jangan ingat orang yang banyak wang tidak ada masalah, mereka berdepan dengan masalah yang berbeza dan masalah mereka selalu berakhir dengan kehilangan wang yang banyak.

Masalah Tidak Cukup Wang

Masalah tidak cukup wang menjadi beban bagi ramai orang yang bergaji rendah. Ini akan memaksa golongan ini untuk bekerja lebih daripada satu pekerjaan. Manakala golongan yang bekerja makan gaji akan menuntut kenaikan gaji daripada majikan mereka selaras dengan kenaikan kos sara hidup.

Golongan yang tidak cukup wang ini juga cenderung untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan dasar kerajaan yang dilihat gagal memastikan harga barang tidak naik mendadak di pasaran, tidak mengenakan kadar cukai tambahan, lambat dalam usaha membantu rakyat menambah pendapatan dan gagal mengawal nilai matawang Ringgit daripada terus jatuh.

Masalah tidak cukup wang ini menyebabkan golongan ini tertekan dan berhempas pulas untuk bekerja keras bagi menampung kekurangan wang dalam perbelanjaan harian dan bulanan mereka. Tekanan berterusan boleh menyebabkan masalah sosial dan kejadian jenayah. Perkara ini tidak mustahil boleh berlaku kepada kita, bermula dengan menuding jari kepada kerajaan dan menimbulkan sentimen kebencian kepada golongan yang menekan mereka dari segi kewangan.

Sentimen ini lah yang mewujudkan kempen boikot kepada produk dan penjual yang meletakkan harga mahal. Malahan ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga walaupun kos sebenar masih murah. Jenayah seperti penyeludupan, rompakan, ragut akan berleluasa dan ini akan menimbulkan masalah kepada keamanan dan kesejahteraan hidup dalam masyarakat. 

Masalah Terlalu Banyak Wang

Golongan ini tidak ada masalah dalam perbelanjaan harian dan tanggungan mereka ke atas bayaran bil serta hutang bulanan. Malah selepas semuanya dibayar masih ada banyak lagi lebihan wang mereka. Ini membolehkan mereka mampu menyimpan wang dengan banyak serta membeli barang mewah.

Golongan ini tidak banyak karenah dan sanggup membayar dengan harga yang tinggi untuk membeli sesuatu. Maka itulah mereka akan menjadi sasaran pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas mereka. Siapakah pihak tersebut? Antaranya adalah pihak bank dan insurans yang akan mencari mereka melalui rekod data dan maklumat yang dimiliki pihak terbabit. Pihak ini akan menawarkan pinjaman bank, skim insurans, kerana mereka tahu golongan yang banyak wang ini masih mampu membayarnya.

Golongan yang terlalu banyak wang ini juga akan mempunyai kehendak yang tinggi serta mudah terpengaruh dengan iklan-iklan gaya hidup mewah. Justeru ada yang akan cenderung untuk membeli kereta baru dan sentiasa menukar kereta selepas beberapa tahun. Golongan ini juga mudah menjadi tamak dan tidak akan merasa cukup dengan wang yang ada sekarang. 

Sungguhpun golongan yang bergaji tinggi ini dari kalangan orang yang terpelajar dan berpendidikan tinggi, mereka mudah menjadi sombong. Tidak semestinya mereka ini mempunyai ilmu kewangan yang baik. Sesetengahnya akan mudah tertipu dengan scammer yang cuba memerangkap mereka untuk menyerah atau memindahkan wang mereka dengan pelbagai helah.

Penyelesaian Masalah Kewangan

Tak kira ada masalah tidak cukup wang atau terlalu banyak wang, kita mesti menguasai ilmu pengetahuan berkaitan kewangan, aset, liabiliti dan hutang. Dalam ilmu kewangan, memahami dasar kewangan dan sifat wang itu sendiri sangat penting. Kenapa nilai wang itu boleh jatuh dan menyebabkan harga barang semakin meningkat. 

Pengurusan kewangan yang baik juga membolehkan kita mampu menghasilkan wang yang banyak dengan sejumlah wang yang sedikit tanpa risiko kerugian wang. Sementara mereka yang mempunyai wang yang banyak akan tahu bagaimana cara terbaik menyimpan wang tanpa risiko susut nilai dan kehilangan wang. Mereka boleh belajar tentang aset, aktiviti bank, pelaburan wang modal, simpanan emas, unit saham dan sebagainya.

Menguasai ilmu dan kemahiran tentang pengurusan wang juga membolehkan kita mengenalpasti liabiliti. Iaitu tanggungan yang akan menyebabkan wang kita terhakis sedikit demi sedikit yang menjadi punca kenapa kita merasa tidak pernah cukup wang. Sedangkan bergaji tinggi dan lumayan pun masih lagi tidak cukup wang. Yang tidak cukup wang pula semakin terdesak dan terpaksa meminjam wang.

Tidak menguasai ilmu dan kemahiran tentang pengurusan wang juga boleh menjadi sebab kita mudah terpedaya, terpengaruh dan tertipu dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas kekayaan kita. Melihat iklan dan promosi jualan kereta baru yang nampak mewah terus tertarik dan mahu membelinya sedangkan kereta sedia ada masih lagi berhutang. Yang tidak cukup wang pula tertarik dengan keluaran smartphone baru dengan ciri-ciri canggih.

Apabila hendak berhutang, dengan ilmu kewangan kita boleh pilih hutang yang baik. Iaitu hutang yang boleh memberi pulangan yang baik dan kemudahan untuk masa depan. Jangan sampai hutang itu menjerat diri sendiri dan menanggung hutang yang tidak pernah habis pembayarannya tapi hasilnya merugikan.

"Wang saya, suka hati saya lah, saya mampu. Siapa kamu nak menasihati dan halang saya untuk membelanjakan wang milik saya". Kata-kata ini kedengaran terlalu sombong dan bongkak. Kita tak boleh nak kata apa lagi dan sebarang keputusan berkaitan wang adalah pilihan masing-masing. Orang yang sombong dan bongkak pasti akan menanggung akibatnya kelak.

Pilih Jalan Terbaik Apabila Melibatkan Wang

Wang memang boleh dicari, kalau habis cari wang lagi. Tetapi kerugian yang ditanggung akibat memilih keputusan yang salah berkenaan wang akan memberi kesan jangka masa panjang. Jika dari mula kita salah pilih jalan, apabila rugi kelak kita terpaksa memulakannya semula. Jika masih lagi berulang-ulang melakukan kesalahan yang sama, kesannya akan ditanggung apabila kita sudah tua kelak.

Kalau dari mula lagi kita memilih jalan yang betul dalam kewangan, di hari tua kelak kita tidak perlu lagi bekerja keras dan menikmati segala kesenangan dan kemewahan yang berterusan. Dahulunya wang kita tidak pernah cukup, apabila sudah tua dengan wang yang banyak ia akan terus semakin banyak. Membolehkan kita memenuhi keperluan hidup dengan sempurna tanpa pembaziran. 

Lebihan wang yang banyak dapat digunakan untuk berbuat kebajikan dengan bersedekah, membantu orang susah, menunaikan umrah dan haji berulang kali, memberi wakaf, membayar zakat. Tidak perlu risau dengan tanggungan hutang yang berterusan. Cukuplah dengan rumah kediaman yang dapat memenuhi keperluan hidup, kenderaan yang sesuai dan selesa untuk perjalanan jauh dan dekat, tidak perlu mewah dan terlalu canggih. Kalau nak pergi travel jauh pun boleh guna kemudahan awam, panggil grab, naik kapal terbang, naik tren. Kita mampu membayar tambangnya tanpa banyak soal dan berkira.

Wang bukan lagi menjadi satu masalah pada masa depan apabila kita dapat menguasai ilmu kewangan dan mahir dalam pengurusan kewangan sejak dari awal lagi. Tak kira sama ada di peringkat awal itu kita tidak cukup wang atau terlalu banyak wang, kita sudah memulakannya dengan baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini